Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Adam Rosly sebagai satu proses biasa.

Menteri Besar Selangor tidak mahu menunding jari terhadap pemimpin muda PKR itu yang berdepan siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sebaliknya menggesa supaya menunggu sehingga siasatan selesai.

“Jangan kita hukum seseorang semata-mata kerana siasatan sedang berjalan,” katanya dipetik kepada media semasa sambutan Hari Tanpa Kenderaan dan Hari Bumi di Shah Alam hari ini.

Mohamed Azmin menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat pembantu pegawai khas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Serahkan kepada badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.

Adam direman selama lima hari bermula Jumaat lalu dan beberapa kenderaan mewah miliknya juga disita SPRM.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman.

Turut kelihatan keluarga dan penyokong Adam termasuk isteri dan anak perempuannya yang menunggu beliau di mahkamah.

Adam pada November tahun lalu menjadi perhatian apabila didedahkan memiliki kekayaan dianggap luar biasa oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal menyewa sebuah helikopter untuk membawa wartawan melihat pemandangan banglo Adam dari udara. Kediaman itu didakwa Jamal bernilai RM7 juta. – MalaysiaGazette