NEW DELHI – Paparan aksi pornografi ekstrem yang disiarkan pada skrin gergasi di stesen metro di bandar ini telah mengejutkan orang ramai yang menyaksikannya.

Kejadian yang memalukan itu memaksa Delhi Metro Rail Corporation (DMRC) melancarkan siasatan selepas insiden berkenaan.

Orang ramai yang berada di pusat perniagaan Connaught Place berhenti untuk melihat aksi bertaraf X yang disiarkan di papan skrin gergasi yang biasanya mengiklankan hartanah mewah atau skim kad kredit.

Mereka yang merakamkan aksi tersebut melalui telefon bimbit dan kemudian menularnya melalui media sosial.

Jurucakap DMRC, Mohinder Yadav berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga suspek yang menjadi dalang dalam insiden itu.

DMRC berkata, skrin telah dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dan mempunyai rangkaian WiFi yang tidak terjamin, mengakibatkan ia boleh diakses oleh orang lain.

Melalui rakaman litar kamera tertutup, tiga lelaki telah menyiarkan klip lucah melalui telefon bimbit mereka di TV tersebut,” kata DMRC dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette