JOHOR BAHRU – Disebalik kesibukan bandar raya Johor Bahru, ramai yang tidak tahu dipinggirnya terdapat sebuah hab eko pelancongan yang semakin berkembang pesat di daerah yang sama.

Ibarat permata yang tersembunyi, Kampung Sungai Melayu yang terletak di pinggir bandar raya sesak yang pernah menggunakan sungai sebagai jalan penghubung utama itu menjadi ‘syurga’ bagi pemerhati burung, pemancing dan pencinta sejarah.

Selari dengan tuntutan pembangunan semasa, kampung yang didiami lebih kurang 300 keluarga itu mengusahakan pelbagai produk pelancongan termasuk rumah rakit, khidmat bot, makanan dan keduyaan, dan sebagainya.

Menurut Setiausaha Komuniti 1Malaysia Kg. Sungai Melayu, Suzaidi Ibrahim, kampung tersebut menjadi tumpuan kepada pelancong daripada Eropah, Jepun dan tidak ketinggalan pelancong tempatan.

Perusahaan eko pelancongan yang dibuat secara kolektif melalui koperasi yang ditubuhkan oeh kumpulan penduduk kampung bagaimanapun tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dikatakan hanya menunjukkan diri serta menabur janji untuk membantu rakyat di kawasan tersebut ketika musim pilihan raya sahaja.

Namun, ketika penduduk kampung bertungkus-lumus mengusahakan pelbagai projek untuk kemajuan ekonomi penduduk tempatan, pihak yang tampil menghulurkan tangan hanya daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Nusa Jaya,, Dr. Zaini Abu Bakar serta pemimpin UMNO Bahagian Gelang Patah.

“Kami tidak dapat apa-apa bantuan dari pada Ahli Parlimen Gelang Patah. Bukan setakat tak turun padang tapi memang tak pernah nampak muka dia.

“Saya pernah nampak dia (Kit Siang) ketika musim pilihan raya sahaja. Masa tu dia adalah janji nak tolong Melayu di sini (Gelang Patah).

“Jika dia (Kit Siang) ada di sini banyak yang kami perlukan dari dia. Isu tempatan seperti pendapatan nelayan terjejas contohnya,” katanya ketika ditemui di Rumah Terapung Kampung Sungai Melayu baru-baru ini.

Justeru, menurut Suzaidi, sekiranya Kit Siang berada atau hadir berjumpa dengan pihaknya, banyak perkara yang masih boleh ‘diungkit’ berikutan janji-janji pilihan raya yang pernah ditabur sebelum ini.

Kampung Sungai Melayu ketika ini dalam proses untuk membina chalet terapung termasuk dewan serbaguna terapung dan beberapa struktur bangunan lain bagi tujuan eko pelancongan di kawasan tersebut.

Projek itu yang dijangka akan bermula pertengahan tahun ini, melibatkan kos sebanyak lebih kurang RM10 juta.- MalaysiaGazette