Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pas.

Bagaimanapun, beliau hanya bersedia menerima jawatan lantikan sahaja.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana yakin dengan kepimpinan tertinggi Pas Pusat sedia ada yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan di atas pencalonan saya oleh Pas Kawasan-kawasan di seluruh negara bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk sesi 2017/2019.

“Memandangkan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan tertinggi Pas Pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepimpinan kini yang melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden, maka saya membuat keputusan menarik diri dari bertanding untuk jawatan Naib Presiden,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Takiyuddin, beliau yakin komposisi sedia ada itu akan mampu membawa Pas menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.

Mengenai penarikan diri bertanding jawatan AJK, katanya, beliau mahu memberi peluang kepada calon lain menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh presiden parti dan insha-Allah akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti,” katanya.- MalaysiaGazette