Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid berucap pada Malam Gelombang Merah Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 22 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Satu kerugian buat rakyat Kelantan sekiranya tokoh berkaliber seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak diangkat menjadi Menteri Besar pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri.

“Tok Pa (Mustapa Mohamaed) adalah produk (pemimpin) yang baik. Pada hemat saya, beliau boleh dijual dengan kedudukan dan pakej yang lengkap.

“Siapa lagi tokoh selain Tok Pa? Ramai lagi tokoh daripada Kelantan yang cukup rugi jika ketika yang paling sesuai ini harus kita garap keseluruhannya,” ujar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap pada Malam Gelombang Merah Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) di sini malam tadi.

Mustapa kini dipertanggungjawabkan memegang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan dan memegang portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tambah Ahmad Zahid, inilah masa buat BN untuk membuktikan kepada rakyat Kelantan bahawa parti itu mampu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Pas.

“Ini masanya, tempoh lima tahun akan datang adalah masa semua. Ini sahaja peluang yang kita ada untuk semua rakyat Kelantan.

“Ini bukan satu ucapan politik apatah lagi rakan media menunggu apakah tema ucapan saya. Fahamilah apa yang tersirat bukan hanya tersurat,” katanya dihadapan lebih 1,000 mahasiswa Himsak.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, kegagalan BN merampas Kelantan selama 30 tahun disebabkan perpecahan sesama sendiri dalam parti.

Ia juga kerana ada kelemahan jentera parti, kata Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN itu lagi.

Menurut beliau, perpecahan yang ketara di peringkat parti negeri itu mengakibatkan Pas terus menguasai kepimpinan negeri.

Malah ia juga turut menjurus kepada kelemahan pada peringkat akar umbi.

“Kecundang kita selama ini yang hampir tiga dekad bukan kerana orang (parti) yang berada di seberang dan tidak sama pegangan kita (BN) tetapi kerana kita lemah bukan kerana kita tidak ada kekuatan tetapi berlaku perpecahan antara kita.

“Cukuplah ketepikan perpecahan dalam kalangan kita jika masih ada, satukan hati dan nurani kita untuk menentukan bahawa gelombang merah ini membirukan seluruh negeri Kelantan,”

Selain Mustapa,  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut hadir pada majlis yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mengumumkan dana sejumlah RM500,000 setahun buat pergerakan itu bagi menjalankan aktiviti berkaitan di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette.