Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata dasar Pakatan Harapan (PH) untuk menggunapakai sistem satu lawan satu tiada asas sekiranya kerusi milik Pas di ganggu.

Menurutnya, kenyataan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN) Anuar Tahir semalam bahawa Pas tiada hak untuk memberi amaran kepada mana-mana parti pembangkang untuk bertanding di 80 buah kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang juga perlu dipersoal.

“Respon mereka mengesahkan sememangnya PAN adalah penyebab kepada tiga penjuru dan sememangnya mereka berhasrat dan berniat untuk berlaku tiga penjuru.

“Jika tiga parti Pas, PKR dan DAP kekal pada kerusi masing-masing pada PRU-13 bertanding lawan BN maka tak akan berlaku tiga penjuru.

“Tapi yang pasti PAN tentu mahu bertanding di kerusi tradisi Pas lawan UMNO bagi merelevenkan kehadiran mereka dalam politik iaitu PAN nak ganti Pas. PBBM juga mahu sebab itu dia mahu berunding kerusi dengan Pas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru katanya apa maksud sebenar dasar satu lawan satu antara pembangkang dan BN yang dicerminkan dalam penubuhan PH.

“Idea dua penjuru (satu lawan satu) yang PH jaja selama ini apa maksudnya? Adakah maksudnya Pas jangan kacau kerusi DAP lawan MCA dan Gerakan?

“(Adakah) Juga Pas jangan kacau kerusi PKR lawan MCA dan UMNO, manakala kerusi tradisi Pas pula sebanyak lebih kurang 80 kerusi lawan UMNO akan diagih-agihkan kalangan Pas, PAN dan PPBM? Begitukah maksud mereka?

“Kalau itu maksud mereka ia bererti idea dua penjuru bertujuan mengecilkan saiz Pas dalam pertandingan pilihan raya,” jelas Khairuddin.

Sebelum ini, Khairuddin memberi amaran kepada PH agar tidak turut serta dalam 80 kerusi yang bakal ditandingi Pas.

Beliau juga mempersoalkan sama ada PKR dan DAP bakal memberikan laluan kepada PAN untuk bertanding di kerusi tradisi mereka tanpa menyentuh kerusi tradisi Pas pada PRU-14 kelak.

“PAN dan PPBM minta sahaja sebahagian kerusi DAP dan PKR tandingi iaitu sebanyak lebih kurang 150 kerusi Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak.

“Itu akan menjadikan pembangkang satu lawan satu dengan BN. Ia sangat senang untuk difahami,” katanya lagi.

Malah semalam, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, parti itu dilaporkan sudah merangka pelan tersendiri dengan meletakkan calon di sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi parlimen.

Ia mencerminkan keazaman parti itu menawan negeri berkenaan daripada BN melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagaimana yang di canang parti itu terhadap negeri Perak sebelum ini. -MalaysiaGazette.