Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas menggesa semua pihak supaya tidak memanjangkan isu yang melibatkan mana-mana agama yang dianuti rakyat di negara ini kerana semua kaum perlu saling menghormati agama masing-masing.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, semua pihak juga perlu segera menghentikan sebarang provokasi bersifat keagamaan.

“Negara ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Ia perlu diberikan penghormatan. Agama lain juga berhak untuk diamalkan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh perlembagaan. Ia juga perlu dihormati.

“Keharmonian bermasyarakat dalam sebuah masyarakat wajib dipelihara. Ia berlaku dengan masing-masing tidak melakukan tindakan bersifat provokasi terhadap agama lain atau tokoh agama lain,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu melibatkan puisi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa menghina agama Hindu apabila menyentuh soal ‘penyembah lembu’.

Menurutnya puisi milik Dr Mohd Asri mungkin ada kaitan dengan provokasi pihak tertentu kepada tokoh agama Dr Zakir Naik.

“Apabila Dr Zakir sebagai tokoh pendakwah muslim diganggu dengan beberapa tindakan provokasi maka ia tentu mengundang tindak balas daripada pihak muslim yang lain.

“Puisi Dr Asri mungkin salah satu tindak balas atas tindakan provokasi terhadap Dr Zakir Naik.

“Pelbagai pihak mungkin ada sudut pandang berbeza dalam mentafsirkan suatu ungkapan bernilai sastera kerana ia membuka ruang tafsiran bersifat subjektif. Namun, jika satu pihak tidak memulakannya maka tiadalah tindak balas seumpamanya,” katanya.

Jumaat lalu Dr Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza telah memuat naik status berupa puisi yang menyebabkan kemarahan beberapa pihak.

Bagaimanapun beliau kemudian menjelaskan kenyataan itu merujuk kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Ekoran kenyataan Mohd Asri itu juga kira-kira 40 wakil NGO dan aktivis membuat laporan polis terhadap beliau.

Antara lain, laporan tersebut mendakwa mufti itu membuat ucapan berunsur hasutan yang bertujuan untuk menyebarkan kebencian umat Islam terhadap agama Hindu. – Malaysia Gazette.