Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Ng Tien Chee.

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kenaikan harga makanan di restoran naik kerana didalangi pembangkang menimbulkan rasa tidak senang hati.

Hari ini, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Ng Tien Chee mencabar Menteri Wilayah Persekutuan itu membandingkan senarai pengusaha restoran di negara ini dengan keanggotaan parti politik pembangkang.

Menurut Tien Chee, jika dibandingkan dengan ahli pembangkang, jumlah ahli Barisan Nasional (BN) lebih ramai di dalam yang di dalam pertubuhan restoran di negara ini.

“Saya yakin majoriti daripada mereka adalah ahli komponen BN jika mereka terlibat di dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kenaikan harga makanan sebenarnya berlaku adalah disebabkan dasar-dasar kerajaan pusat yang membebani rakyat.

Beliau berkata, harga barang akan turun dan ekonomi negara akan pulih jika kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan, memulihkan keyakinan pelabur dengan menyelesaikan isu 1MDB dan membanteras rasuah.

“Ini merupakan satu logik yang mudah tetapi saya berasa hairan mengapa menteri (Ku Nan) tidak faham?” soalnya lagi.

Tien Chee juga menegaskan tindakan kerajaan untuk memulihkan nilai ringgit dan menurunkan harga minyak petrol.

Semalam, Tengku Adnan mendakwa harga makanan di beberapa restoran tertentu mahal kerana ia dipersetujui oleh ahli pembangkang yang berada di dalam pertubuhan restoran berkenaan.

“Ia (caj melampau) memang didalangi oleh pihak pembangkang.
“Saya kenal pasti bila ada mesyuarat pertubuhan (restoran), di dalam pertubuhan itu ada ahli DAP, PKR dan puak inilah menidakkan apa yang kerajaan cuba bantu rakyat selain memastikan harga ini diperbetulkan,” dakwa Tengku Adnan. -Malaysia Gazette.

Caj melampau peniaga restoran didalangi pembangkang – dakwa Ku Nan