Kenderaan rasmi yang membawa Yang Dipertuan Agong XV, Sultan Muhamad V dilihat berangkat tiba masuk ke Istana Negara bagi Istiadat Pertabalan Agong XV. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Pelancong asing tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan secara langsung Istiadat Pertabalan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 hari ini di Istana Negara.

Di depan pintu istana disediakan skrin gergasi menayangkan secara langsung proses pertabalan dan pelancong dibenarkan untuk melihat sendiri upacara yang penuh istiadat dengan dihadiri pembesar negara dan pemimpin utama negara.

Sultan Muhammad V tiba dengan kereta pengiring kira-kira jam 9.45 pagi di Istana Negara.

Seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taufik Kamaruddin dari Indonesia yang hadir bersama isteri dan tiga anaknya seawal 9 pagi semasa ditemui melahirkan rasa teruja dapat melihat secara langsung istiadat yang berlangsung memandangkan ia jarang-jarang sekali dapat dilihat di negara sendiri.

“Saya datang untuk melihat sendiri upacara hari ini memandangkan keunikan sistem raja bergilir setiap lima tahun yang diamalkan oleh Malaysia.

“Berbeza dengan Indonesia, kami tidak ada sistem begini,” kata Taufik kepada MalaysiaGazette.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa dari Indonesia, Taufik Kamaruddin. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa dari Indonesia, Taufik Kamaruddin. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017

Sistem pemilihan Agong yang diamalkan di Malaysia dilakukan setiap lima tahun sekali di mana Raja-Raja Melayu dipilih mengikut giliran untuk menjawat jawatan tertinggi selaku Ketua Negara.

Sementara itu, seorang pelancong dari Perancis, Billaut binxia berkata, beliau gembira dapat melihat secara terus upacara yang berlangsung kerana i mencerminkan kebudayaan yang dimiliki Malaysia.

“Saya rasa bertuah dapat melihat upacara hari ini, Malaysia sememangnya sebuah negara yang penuh dengan kebudayaan dan tradisi tersendiri yang tidak ada di Perancis,” kata Billaut semasa ditemui di Istana Negara.

Pelancong Perancis, Billaut Binxia. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017
Pelancong Perancis, Billaut Binxia. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017

Dalam pada itu, seorang rakyat Malaysia, Mohd Azam Ismail, semasa ditemui menyaksikan siaran langsung upacara pertabalan di sebuah restoran berkata, kelainan kali ini adalah buat kali pertama Yang di-Pertuan Agong dipilih tidak mempunyai permaisuri di mana kebiasaannya dalam istiadat terdahulu.

“Unik istiadat kali ini adalah jika dahulu ada permaisuri, kali ini berlainan sedikit proses pertabalan tidak ada permaisuri.

“Saya mahu melihat proses pertabalan kali yang banyak perbezaan dengan upacara sebelum ini,” katanya.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V secara rasminya hari ini ditabalkan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu.

Upacara pertabalan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 9.30 pagi bagi membolehkan seluruh rakyat bersama-sama menyaksikan istiadat pertabalan ketua negara baharu yang bakal memegang tampuk pemerintahan bagi tempoh lima tahun bermula 13 Dis lepas.

Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lepas yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette