KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mula melatah apabila menyalahkan wujud pihak tertentu yang berniat jahat cuba memecahbelahkan parti baharu itu selepas tuduhan jawatan Ketua Bahagian dijual dengan nilai tertentu.

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan ia satu tuduhan tidak masuk akal memandangkan tawaran wang untuk mendapatkan sesuatu jawatan dalam parti tidak berlaku dalam parti itu.

“Ini semua dakwaan yang tidak munasabah dan saya sendiri rasa loya untuk komen mengenai perkara ini.

“Tak masuk akal bila mereka dakwa kita tuntut wang untuk beri jawatan kepada pihak-pihak berkepentingan dalam parti,” kata Kamaruddin yang dipetik berkata.

Sememangnya sudah dijangka pimpinan PPBM akan menafikan dakwaan tersebut walaupun sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan satu perbualan WhatsApp yang mendedahkan wujud jawatan tertinggi dalam parti itu di peringkat bahagian yang dijual dengan nilai agak tinggi.

Sementara itu seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Dr Rais Hussin juga senada dengan Kamaruddin apabila mendakwa wujud tangan-tangan tertentu yang cuba merosakkan reputasi parti itu.

“Wang tidak diperlukan untuk membolehkan seseorang memegang mana-mana jawatan dalam parti, atau pun mereka dibayar selepas dilantik,” beliau dipetik berkata.

“Ini adalah cubaan yang sia-sia oleh mereka yang berniat jahat mahu merosakkan reputasi PPBM,,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan ada seseorang ditawarkan menjadi ketua bahagian PPBM di Johor tetapi perlu membayar RM250,000 terlebih dulu.

Menurut Rais, dengan kedudukannya sendiri sebagai salah seorang Ketua Bahagian PPBM, dia tahu apa yang didakwa itu adalah tidak benar.

“Saya tahu tuduhan itu berniat jahat, fitnah dan bertujuan memberikan gambaran salah pada PPBM,” katanya. – MalaysiaGazette