Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia hari ini mengesahkan bekas anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah memohon pada 9 Julai pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kajian sebuah pusat penyelidikan, Invoke mendedahkan kelebihan memihak kepada UMNO berbanding parti pembangkang lain sekiranya berlaku saingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

Pusat kajian yang diterajui oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui sokongan rakyat kepada parti pemerintah masih kukuh jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pas, PAN (Parti Amanah Negara), PKR dan PPBM (Parti Peribumi Bersatu Malaysia) dan Barisan Nasional (BN) akan kekal menerajui pentadbiran kerajaan pusat.

Terdapat tiga senario yang dikaji dan semuanya menunjukkan statistik memihak kepada UMNO, senario pertama adalah pertembungan dengan PKR dan Pas.

“Dalam pertandingan tiga penjuru antara UMNO, PKR dan Pas, 29.8 peratus akan menyokong UMNO sementara 22.3 peratus akan sokong PKR dan 11.2 peratus akan memilih Pas. Sebanyak 13.7 peratus tidak ada keputusan, 21 peratus tidak menjawab soalan sementara 2.1 peratus berkata mereka tidak akan mengundi,” kata laporan terbaharu pusat itu.

Dalam senario kedua kaji selidik itu, pertembungan antara UMNO dengan PPBM dan Pas, sokongan masih kekal memihak UMNO dan PPBM pula menjadi pilihan kedua tertinggi berbanding Pas.

“Sebanyak 30.5 peratus akan mengundi UMNO, sementara 18.4 peratus akan sokong PPBM. Hanya 10.8 peratus akan menyokong Pas,” kata laporan itu.

Senario ketiga, pertembungan antara UMNO dengan PAN dan Pas turut menyaksikan pengundi masih memilih UMNO dengan 32.2 peratus menyokong, sementara 16.1 peratus sokong PAN dan 12.5 peratus pula menyokong Pas.

Daripada semua senario ini, kesimpulannya Pas bakal hilang banyak kerusi yang ditandinginya jika berlaku saingan tiga penjuru dan kemungkinan kerusi yang ditambah UMNO juga akan meningkat.

Kajian tersebut melibatkan 10,000 orang responden seluruh negara yang terdiri daripada 65 peratus Melayu/Bumiputera Muslim, 23 peratus Cina, 7 peratus India dan 5 peratus Bumiputera bukan Muslim.

Pas tidak berada dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, PAN dan PPBM. – MalaysiaGazette