Presiden Prasarana Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara Rapid Rail dan Institut Jurutera Malaysia di Menara UOA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR  – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) bakal menganugerahkan kesemua kontrak projek Transit Aliran Ringan (LRT 3) sama ada pada Jun atau Julai tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, pembida yang layak telah dimuktamadkan dan proses penganugerahan kontrak sedang dijalankan.

“Apa yang boleh saya katakan projek ini berada di landasan sebenar.

“Tender-tender besar telah ditawarkan dan saya harap proses penganugerahan tender dapat dilaksanakan pada Jun atau Julai ini,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan kerjasama syarikat tersebut dengan Institusi Jurutera Malaysia di sini hari ini.

Tambah Azmi, kerja-kerja pembinaan depot telah pun dijalankan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya 45 peratus kerja-kerja pembinaan LRT 3 diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera akan dipatuhi.

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer itu bakal menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dan Kelang.-MalaysiaGazette