Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

ALOR SETAR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mencadangkan kerajaan mengambil alternatif menyelamatkan rakyat marhain daripada Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dengan meletakkan sasaran itu kepada golongan kaya sahaja.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan boleh ‘mengambil’ kekayaan golongan terbabit dengan mengenakan cukai simpanan korporat dan cukai atas keuntungan jual beli saham.

GST, katanya, mesti dibatalkan kerana kaedah itu bercanggah dengan Islam dan hukumnya haram disebabkan dikenakan kepada semua rakyat termasuk orang miskin atas perbelanjaan mereka.

“Di saat kerajaan masih banyak melakukan pembaziran dalam perbelanjaan adalah tidak layak untuk menuntut rakyat termasuk golongan marhain menanggung perbelanjaan kerajaan melalui cukai GST,” katanya hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, kedua-dua cukai alternatif itu adalah kewajipan dari orang kaya untuk agihan kepada golongan miskin dan bertepatan dengan kaedah percukaian dalam Islam. – MalaysiaGazette