Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Sekiranya permohonan ditolak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekali pun Pakatan Harapan (PH) tetap nekad akan menggunakan satu logo dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, sekiranya ROS tidak terima, PH sudah mempunyai perancangan lain bagi merealisasikan konsep satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN).

Malah langkah itu dakwanya telah dipersetujui oleh kepimpinan utama parti dalam PH di peringkat pusat.

“Kalau logo yang kita daftarkan nanti ditolak, kita sudah ada strategi sendiri dan akan gunakan satu logo juga sebagaimana yang telah dipersetujui,” katanya memetik laporan portal pro pembangkang hari ini.

Dipercayai barisan Majlis Sekretariat PH akan bermesyuarat hari ini bagi membuat persiapan dari segi struktur, perlembagaan dan logo gabunga nempat parti politik antara PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perkara itu akan diputuskan dan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan bermesyuarat minggu depan dan dibawa untuk didaftarakn kepada ROS.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini berkata gabungan itu perlu berdaftar sebagai satu parti, yang menggunakan satu parti, logo dan manisfesto yang sama seperti BN.

Bagaimanapun, idea itu disanggah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang hanya bersetuju agar PH menggunakan satu manisfesto dengan parti-parti yang berbeza tanpa berdaftar sepertimana yang diamalkan sebelum ini.

Untuk rekod, Pakatan Rakyat sebelum ini pernah menggunakan konsep satu manifesto namun gagal mencapai persetujuan untuk menggunakan satu logo. – MalaysiaGazette.