KUALA LUMPUR – Tenaga buruh Malaysia meningkat 1.0 peratus kepada 14.7 juta orang pada 2016 berbanding tahun sebelumnya.

Pertambahan ini disumbang oleh peningkatan penduduk bekerja sebanyak 96,000 orang kepada 14.2 juta orang dan peningkatan penganggur sebanyak 53,800 orang kepada 504,100 orang.

Jabatan Perangkaan berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada 2016 ialah 67.7 peratus, turun 0.2 mata peratus berbanding 2015.

Ini bermakna, 32.3 peratus lagi penduduk dalam kumpulan umur bekerja berada di luar tenaga buruh.

Sementara itu, kadar pengangguran dalam tempoh sama naik 0.3 mata peratus kepada 3.4 peratus.

Ini menunjukkan bahawa ekonomi negara masih dapat dikekalkan dalam keadaan guna tenaga penuh iaitu kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus.

KPTB perempuan naik 0.2 mata peratus mencapai 54.3 peratus pada 2016.

Penyertaan perempuan dalam pasaran buruh bagi kumpulan umur usia perdana iaitu 25 hingga 34 tahun (73.4%), 35 hingga 44 tahun (66.8%) dan 45 hingga 54 tahun (57.1%) adalah lebih tinggi berbanding KPTB perempuan di peringkat nasional.

Menurutnya, penyertaan tenaga buruh lelaki pula ialah 80.2 peratus pada 2016, turun 0.4 mata peratus berbanding tahun sebelumnya.

KPTB kumpulan umur 55 hingga 64 tahun mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 2.5 mata peratus kepada 66.8 peratus.

Namun begitu, kumpulan umur 35 hingga 44 tahun dan 45 tahun 54 tahun masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 mata peratus.

Secara keseluruhannya, KPTB lelaki masih lebih tinggi berbanding perempuan bagi semua kumpulan umur.

Tambahnya, kadar pengangguran yang tinggi direkodkan oleh penduduk dalam kumpulan umur 15 hingga 19 tahun iaitu 15.9 peratus pada 2016, diikuti penduduk berumur 20 hingga 24 tahun dengan kadar 9.1 peratus.

Dari segi bilangan penganggur pula, sumbangan terbesar dicatat oleh kumpulan umur 20 hingga 24 tahun, iaitu 37.7 peratus daripada keseluruhan penganggur.

Namun, komposisi penganggur kumpulan umur tersebut turun 4.4 mata peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, pada 2016, hampir 7 juta penduduk dalam kalangan umur bekerja berada di luar tenaga buruh, naik 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sekitar 50 peratus daripada mereka berada dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun.

Sejumlah 45.2 peratus dalam kalangan penduduk di luar tenaga buruh pada 2016 kerana masih belajar dan akan melanjutkan pelajaran.

Kumpulan ini merupakan penduduk yang berpotensi menyertai pasaran buruh selepas tamat pelajaran.

Di samping itu, 41.6 peratus penduduk di luar tenaga buruh kerana kerja rumah atau komitmen keluarga. – MalaysiaGazette