Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – PKR menyerahkan sebarang tindakan disiplin membabitkan kes Datuk Adam Rosly Abdullah kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Kedua-dua individu tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan Adam Rosly yang memegang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana parti itu tidak akan bertolak ansur dalam perkara yang membabitkan rasuah.

“Seperti yang kami kata, PKR tidak teragak-agak, tidak bertolak ansur dengan sebarang amalan rasuah […] Sekarang ia di tangan ketua disiplin,” beliau dipetik berkata dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Adam Rosly, 29, berdepan enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April lalu.

Beliau didakwa memberi keterangan berkenaan untuk memperdaya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat sumber kekayaannya.

Menurut Nurul Izzah, hasil siasatan ke atas Adam Rosly itu juga akan dirujuk kepada Biro Politik PKR sebelum keputusan selanjutnya diambil. – MalaysiaGazette