Najib Razak (tiga kiri) bersama Peter Bellew (empat kanan) bergambar bersama krew Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada Majlis Pengumuman MAB menyertai inisiatif Negaraku di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 03 MEI 2017.

PUTRAJAYA – MALAYSIA Airlines (MAS) memperlihatkan komitmen tingginya dalam menyertai inisiatif  “Negaraku”, yang bertujuan memupuk semangat patriotik di seluruh negara.

Dalam mendukung inisiatif ini, Malaysia Airlines menyemai semangat “Negaraku”  di tempat kerja, di dalam talian, serta di pelbagai kaunter pelanggan termasuk menampilkan lambang “Negaraku” dengan lambang pengenalan istimewa di beberapa pesawatnya.

Majalah dalam penerbangan Malaysia Airlines, “Going Places” juga menampilkan wira-wira Malaysia dan menyediakan kandungan khas dalam hiburan dalam penerbangan.

Komitmen Malaysia Airlines kepada inisiatif  “Negaraku” diperlihatkan menerusi penyerahan pas masuk Malaysia Airlines dan model pesawat dengan lambang pengenalan istimewa kepada  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyaksikan majlis pengumuman MAS bagi inisiatif ‘Negaraku” itu di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Peter Bellew menyatakan Malaysia Airlines bangga untuk komited kepada inisiatif “Negaraku” bagi menunjukkan statusnya sebagai satu-satunya syarikat penerbangan milik 100 peratus Malaysia.

“Ia (Negaraku) mencerminkan dengan jelas rasa bangga dan kasih sayang rakyat Malaysia terhadap antara satu sama lain dan terhadap negara mereka yang indah.

“Dan kami, syarikat penerbangan, berbangga menjadi sebahagian daripada itu kerana kami membawa logo  “Negaraku” sebagai mewakili setiap rakyat Malaysia, ke seluruh dunia,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis itu.

Selain berterima kasih kepada Najib, Bellew juga memuji Perdana Menteri atas sokongan berterusan beliau terhadap Malaysia Airlines, yang ketika ini sedang melalui fasa pemulihan.

Dalam tempoh sembilan bulan lepas, beliau berkata Malaysia Airlines mencatatkan pertumbuhan faktor muatan sebanyak 15 peratus.

Pada Disember 2016, Malaysia Airlines mencatatkan faktor muatan sebanyak 90 peratus, yang paling tinggi dicatatkan oleh syarikat penerbangan penuh di dunia, lebih baik berbanding   American Airlines, British Airways dan Singapore Airlines,” katanya. –

BERNAMA