Home Nasional Sayembara Menulis Cerpen diteruskan tahun ini

Sayembara Menulis Cerpen diteruskan tahun ini

KUALA LUMPUR – Untuk tahun kedua, Akademik Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaysia dan Gallery Bookstores menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen 2017.

Dengan mengekalkan tema kemanusian, sayembara itu terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Universiti Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta di dalam dan luar negara yang berusia 18 hingga 30 tahun.

Pengarah APM, Prof. Madya Dr. Puteri Roslina Abd Wahid berkata, karya yang dihasilkan itu perlu ditulis dalam bahasa Melayu, selari dengan objektif penganjuran sayembara ini untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Lantaran itu, gaya bahasa Melayu perlu bahasa akademik, katanya.

“Penganjuran sayembara ini adalah sebahagian daripada usaha APM untuk mengasah bakat-bakat muda dalam melahirkan tokoh-tokoh sasterawan negara pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, tema kemanusian dikekalkan kerana ia bersifat universal dan banyak isu-isu sejagat seperti peperangan di Syria dan Palestin.

“Kita tidak mahu generasi hanya bergantung kepada karya-karya cinta semata-mata, sebaliknya menghasilkan karya yang menjana pemikiran masyarakat,” ujarnya.

Mohd Salleh Saidin
Mohd Salleh Saidin

Sementara itu, Pengarah Urusan Gallery Bookstore, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, syarikat itu memperuntukan RM17,000 bagi penganjuran sayembara pada tahun ini.

Hadiah tempat pertama ditawarkan sebanyak RM3,000 dan piala, tempat kedua dan ketiga masing-masing RM2,000 dan 1,000 serta cenderamata.

Tempat keempat RM700 dan kelima RM500 manakala sebanyak 25 hadiah saguhati dengan wang tunai RM300.

Penyertaan telah dibuka pada 1 April lalu sehingga pukul 5 petang pada 30 September tahun ini.

Penyertaan Sayembara Menulis Cerpen hendaklah dihantar melalui emel kepada [email protected] atau penyerahan tangan atau secara pos boleh dialamatkan kepada:
Urus Setia Sayembara Menulis Cerpen
Gallery Bookstore – Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya,
50603 Kuala Lumpur