Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan) berbincang dengan Menteri Tanah dan Pelancongan Jepun, Keinci Ishi (kiri) pada Kunjungan hormat Menteri-Menteri Jepun di Pejabat Menteri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 MEI 2017

PUTRAJAYA- Jepun mungkin boleh menawarkan kos pembinaan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura lebih rendah meskipun menggunakan teknologi shikansen yang telah terbukti berteknologi terkini dan efisyen.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, berdasarkan pertemuan beliau dengan delegasi Jepun yang diketuai Menteri Pengangkutannya, Keishi Ishi dipejabatnya hari ini, negara tersebut mempunyai beberapa kelebihan terutama dari segi teknologi dan kos.

Bagaimanapun, Malaysia, katanya mempunyai beberapa keutamaan lain yang perlu juga diambil perhatian oleh pemaju projek tersebut seperti pembangunan modal insan, pemindahan teknologi dan program kepada sub kontraktor-sub kontraktor tempatan selain kos penyelenggaraan keretapi dan sistem.

“Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Shinkasen (keretapi berkelajuan tinggi Jepun) merupakan sistem dan teknologi terbaik di dunia pada masa ini dan pastinya ia tidak datang percuma.

“Cuma persoalan sekarang adalah ketika proses tender diberi penilaian, kerajaan perlu meneliti sama ada kita mampu untuk mengimbangi kos dengan teknologi yang bakal diterima daripada Jepun.

“Saya sangat percaya yang Jepun akan menawarkan bidaan paling kompetitif jika dilihat daripada angka-angka awal yang dibentangkan hari ini namun kita masih perlu menunggu bidaan rasmi dibuat oleh pihak Jepun serta syarikat dan negara-negara lain,” katanya di sini hari ini.

Selain Jepun, China, syarikat dari Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Eropah turut menyatakan minat untuk membida projek tersebut.

Menurut Rahman, Jepun melihat projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura itu sesuatu yang menarik kerana ia melibatkan dua negara selain mahu menjadikan projek tersebut sebagai bukti bahawa Shinkansen bukan sahaja sesuai di Jepun malah boleh digunakan di seluruh dunia.

Menurut beliau, proses bidaan hanya akan diketahui pada suku terakhir tahun ini manakala pakej-pakej awal pembangunan projek akan dianugerahkan bermula pada hujung tahun ini.

Projek yang melibatkan landasan sejauh 350 kilometer itu dianggarkan menelan kos RM60 bilion.-MalaysiaGazette