Hamzah Zainudin (tengah) diiringi Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh (kiri) dan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas (kanan) menunjukkan 'placard' kadar dividen sebanyak 15 peratus di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen lebih baik sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2016 berbanding 13 peratus tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainduddin berkata, ini akan melibatkan anggaran pembayaran sebanyak RM450 juta kepada semua ahlinya.

“Bagi menghargai sokongan anggota pada masa yang mencabar walaupun ada yang memfitnah prestasi Bank Rakyat, saya dengan ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus untuk tahun ini,” katanya di sidang media pengumuman prestasi Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh mengumumkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 sebanyak RM1.74 bilion berbanding RM2.01 bilion yang dicatatnya pada tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan bersih tahun 2016 selepas pembahagian berkanun susut kepada RM1.16 bilion berbanding RM1.3 bilion tahun lalu.

Jelasnya, prestasi lemah tersebut didorong oleh kelembapan ekonomi global dan domestik meskipun kumpulan perbankan berkenaan merekodkan peningkatan pendapatan.

Kumpulan Bank Rakyat mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 5.58 peratus kepada RM6 bilion berbanding RM5.69 bilion tahun lalu.

Ini disumbang terutamanya oleh pertumbuhan positif sektor pembiayaan peribadi.

“Secara keseluruhannya Bank Rakyat telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai bank koperasi yang paling tinggi keuntungannya dan sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi aset,” katanya semasa mengumumkan prestasi kewangan Bank Rakyat 2016 di sini hari ini. – MalaysiaGazette