Home Ekonomi KUB lupus kepentingan A&W?

KUB lupus kepentingan A&W?

KUALA LUMPUR – KUB Malaysia Berhad (KUB) hampir pasti melepaskan kesemua pegangan A&W Malaysia Berhad (A&W) – rangkaian restoran makanan segera miliknya kepada usahawan dari Singapura.

Sumber-sumber yang tahu mengenai cadangan penjualan itu berkata, syarikat tersebut sudah pun mengemukakan tawaran untuk mengambil alih rangkaian restoran makanan segera itu dengan nilai RM30 juta.

Difahamkan Lembaga Pengarah KUB sedang cuba berunding untuk mendapatkan harga terbaik daripada cadangan penjualan A&W.

Sumber berkata, bagaimanapun cadangan penjualan perniagaan makanan KUB itu tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah KUB.

Beliau mendakwa, A&W yang menjadi simbol perniagaan makanan segera Bumiputera itu tidak sepatutnya dijual kerana ia adalah bisnes yang menguntungkan jika memiliki pelan perniagaan yang baik.

Dakwanya, perniagaan A&W telah mula merekodkan keuntungan sejak tahun 2013.

Mengikut laman sesawang A&W, rangkaian restoran itu kini mempunyai 27 buah restoran di seluruh negara.

Spekulasi penjualan A&W bukan baharu sebaliknya ia telah menjadi spekulasi sejak tahun 2013.

Jika penjualan A&W ini dilakukan, ia bukan mustahil kerana KUB mahu menumpukan strategi pengembangan dalam tiga perniagaan terasnya yang dilihat mampu mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan pada masa depan.

Tiga perniagaan teras kumpulan iaitu perniagaan agro, tenaga dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyumbang kira-kira 70 peratus kepada keuntungannya.

Pada tahun lalu, Pengarah Pengurusan Kumpulan, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata, syarikat itu bercadang untuk melupuskan aset bukan teras jika didapati aset berkenaan terus mencatatkan prestasi yang lemah.

Katanya, berdasarkan pelan strategik perniagaan yang bermula suku keempat tahun lalu, KUB sudah melupuskan perniagaan yang mencatatkan prestasi lemah iaitu A&W Restaurant (Thailand) Co Ltd dan KUB Builders Sdn Bhd. – MalaysiaGazette