Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – UMNO Selangor mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kedudukan Pas dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) negeri itu.

UMNO tidak mahu tergesa-gesa dengan kemelut yang berlaku, sebaliknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, parti itu tidak mahu dilihat mengambil kesempatan ke atas apa yang berlaku antara Pas dengan PKR.

Setakat ini, kata beliau, UMNO negeri belum menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan berhubung kedudukan terkini politik Pakatan Harapan (PH) Selangor berikutan Pas Pusat menerima usul tanpa bahas daripada tiga entiti parti itu yang mahu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Setakat ini kita belum terima apa-apa arahan dari kepimpinan tertinggi parti. Tapi, kita sudah bersiap sedia berdepan dengan perkembangan terkini dalam PH,” katanya kepada media di Pejabat UMNO Negeri di sini, semalam.

Menurut Mat Nadzari, UMNO negeri memutuskan untuk tidak mencampuri urusan yang berlaku dalam PH, sebaliknya kekal dengan usaha mendekati rakyat dan menjaga kebajikan mereka.

Mengenai ura-ura ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR akan melompat parti dan membolehkan Barisan Nasional (BN) dan Pas mengambil alih negeri itu, beliau berkata, biar keadaan menentukan.

“Soal bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) ini hak menteri besar. Dia boleh mengusulkan kepada Sultan untuk mendapat perkenan,” katanya. – MalaysiaGazette