Bangunan Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan dengan campur tangan berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan pasaran wang tempatan.

Bank pusat berkemungkinan menawarkan tender setiap hari untuk mengurangkan lebihan mudah tunai dalam pasaran kewangan.

Bagi minggu yang baru berakhir, BNM campur tangan setiap hari untuk menyerap lebihan mudah tunai melalui tawaran tender konvensional, Qard, repo dan lelongan matang pelbagai.

Semalam, langkah bank pusat itu telah membantu mengurangkan lebihan kecairan keseluruhan pasaran kepada RM32.28 bilion bagi sistem konvensional dan RM7.61 bilion dalam sistem Islam.

Kadar rujukan Islam semalaman berada pada 2.96 peratus manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.02 peratus, 3.06 peratus dan 3.11 peratus.

Penanda aras kadar antara bank tiga bulan adalah tidak berubah pada 3.43 peratus. – MalaysiaGazette