Wisma Putra
Tindakan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai ke kementerian berkenaan disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan lawatan kerja ke Holy See bermula 8 hingga 10 Mei ini.

Lawatan berkenaan adalah yang pertama untuk Anifah bertujuan untuk merasmikan Kedutaan Malaysia baharu di sana.

Kenyataan Wisma Putra hari ini berkata, Anifah juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Paul Gallagher dan Setiausaha Negara kepada Holiness Pope Francis (merangkap Perdana Menteri Holy See), Cardinal Pietro Parolin.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak berminat untuk meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk usaha-usaha untuk menggalakkan dialog dan pemahaman antara agama.

Pemimpin kedua-dua negara juga dijadualkan untuk membincangkan isu-isu serantau dan sejagat berkepentingan bersama.

“Melalui pertemuan ini, Anifah akan menyampaikan pandangan dan pendirian Malaysia mengenai perkara-perkara yang memberi kesan terhadap masyarakat antarabangsa.

“Lawatan ini turut memberikan peluang kepada Malaysia untuk menjelaskan konsep kesederhanaan, di bawah inisiatif Global Movement of Moderates (GMM).

“GMM bertujuan untuk menggalakkan toleransi, persefahaman dan saling faham- memahami di antara kaum dan agama melalui penghayatan nilai-nilai kesederhanaan dan penolakan unsur-unsur ekstremisme,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelasan GMM penting dalam mengekalkan keamanan, perpaduan dan kemakmuran dalam masyarakat berbilang agama dan kaum seperti Malaysia.

Inisiatif GMM dirangka berdasarkan pengalaman Malaysia yang telah berjaya membangunkan infrastruktur politik, ekonomi dan sosial dalam suasana penuh keharmonian dan perpaduan di antara pelbagai kaum dan agama.

Malaysia dan Holy See telah menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi pada 27 Julai 2011, susulan dari lawatan kerja  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Holy See pada bulan Julai 2011.

Semenjak lawatan tersebut, hubungan dua hala di antara kedua-dua negara telah menyaksikan trajektori yang positif.

Pembukaan Kedutaan Besar Malaysia ke Holy See dan lawatan pertama oleh Anifah  merupakan pencapaian penting dan mampu untuk mengeratkan lagi hubungan di antara Malaysia dan Holy See ke tahap yang lebih tinggi.- MalaysiaGazette