Salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Bangkok diberi gelaran Mr T.

PULAU PINANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak tanggapan kononnya dua rakyat Malaysia yang ditahan bersabit kegiatan penyeludupan dadah di Thailand baru-baru ini merupakan Raja Dadah.

Pengarah Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif berkata, kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa Thailand dan pemberian gelaran tertentu seperti Raja Dadah tidak membantu proses siasatan tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan PDRM sudah menerima panggila daripada pihak berkuasa untuk membantu siasatan terhadap suspek yang dikenali sebagai Mr. T dan Mr. G tersebut.

“Sehubungan itu, kita akan menghantar pasukan kita ke Thailand bagi membantu siasatan pihak berkuasa di sana dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali PDRM di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Salah seorang suspek yang dikenali sebagai Mr G.
Salah seorang suspek yang dikenali sebagai Mr G.

Dalam pada itu, ditanya penglibatan dua suspek tersebut dalam kegiatan pengedaran dadah di negara ini, Mohd. Mokhtar berkata, perkara berkenaan juga termasuk dalam aspek siasatan yang akan dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya tidak boleh memperincikan perkara tersebut kerana boleh menganggu siasatan.

“Siasatan itu kelak akan melihat dari aspek yang menyeluruh dan keutamaan ketika ini adalah untuk membasmi kegiatan pengedaran dadah secara besar-besaran,” katanya.

Hujung bulan lalu, pihak berkuasa Thailand menahan dua rakyat negara ini yang disifatkan sebagai Raja Dadah amat dikehendaki selepas mengekori pergerakan mereka selama berbulan-bulan.

Suspek yang digelar Mr. T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr. G dari Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia. – MalaysiaGazette