Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kanan) menyerahkan Anugerah Belia Negeri Selangor kategori individu kepada, Muhammad Az'lan Abu Bakar (kiri) sambil diiringi Presiden Majlis Belia Negara Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (tiga kiri) pada pelancaran #YouCanDuit sempena Hari Belia Negara di SMK Taman Medan, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 MEI 2017

PETALING JAYA – UMNO Selangor menyifatkan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan cacar marba.

Ini kerana, menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar, kedudukan parti gabungan dalam kerajaan itu tidak keruan seperti Pas berbalah dengan DAP manakala PKR berbaik dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula tidak bermusuh dengan DAP.

“Perbalahan sesama sendiri ini menyebabkan kerajaan PH Selangor macam kerajaan cacar marba.

“Daripada awal memerintah lagi sudah ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka letak jawatan, kononnya kerana nak lantik Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Menteri Besar tetapi yang menjadi calon dan bertanding di DUN Kajang ialah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Apabila isteri Anwar menang, yang menjadi menteri besar ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Tidakkah ini dipanggil kerajaan cacar marba?” soal beliau pada sidang media selepas melancarkan Hari Belia Selangor dan #YOUCANDUIT di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan dekat sini hari ini.

Ditanya mengenai desas-desus empat wakil rakyat PKR akan lompat parti, Noh berkata, itu adalah strategi PH yang dalam keadaan terdesak.

Menurutnya, apabila PH terdesak, mereka akan menyalahkan parti lain, terutama UMNO mereka cerita kononnya akan berlaku pertukaran kerajaan antara PH dengan BN bersama Pas dan Bebas.

“Soal lompat parti ini tidak akan berlaku. Ini hanya sandiwara Mohamed Azmin yang dalam keadaan tersepit.

“Begitu juga ada khabar angin ADUN Pas akan lompat parti sertai bebas. Saya tidak terpengaruh dengan dakyah ini dan saya sudah pesan kepada barisan kepimpinan UMNO negeri agar tidak mudah terpedaya.

“Nak kata kerajaan PH, Pas tidak ada dalam PH. Mereka hanya kerajaan yang berlainan ideologi politik,” katanya.

Kata Noh, yang beliau tidak faham dengan politik PH Selangor ialah bagaimana tiga anggota Exco Kerajaan Negeri dari Pas boleh duduk semeja dengan Exco PKR dan DAP, sedangkan Pas Pusat sudah keluar dari Pakatan Rakyat (PR).

Ujar beliau, bila mana kerajaan PH mempunyai masa memikirkan masalah rakyat kalau asyik bertelagah?

“Buat pembangunan di Selangor, hasilnya bukan menguntungkan rakyat, tapi menyumbang banjir kilat dan banjir lumpur kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau memberitahu, sudah cukup rakyat Selangor memberi peluang kepada PH memerintah, sebaliknya perlu tukar kepada BN yang jelas mempunyai rekod baik dalam menjaga kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette