Najib Tun Razak

SANDAKAN – Polisi Kabotaj yang menyebabkan kenaikan kos harga barangan di Timur Malaysia akan dimansuhkan mulai 1 Jun ini.

Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengecualian Polisi Kabotaj itu melibatkan Sabah, Sarawak, juga Labuan berikutan gesaan oleh para pemimpin kedua-dua negeri itu.

Polisi Kabotaj adalah polisi yang menghadkan penghantaran barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menggunakan kapal-kapal Malaysia sahaja.

Dasar itu diperkenalkan pada 1 Januari 1980 bagi mempromosi Pelabuhan Kelang sebagai hab penghantaran utama – dengan memperuntukan mana-mana barangan dari luar negara perlu melalui pelabuhan itu sebelum dihantar ke Sabah.

Akibatnya, para pengguna di Sabah dan Sarawak perlu menanggung beban kos hidup apabila pengeluar menaikkan harga untuk menampung kos pengeluaran yang lebih tinggi.

Pengimport dan pengeksport di Sabah terpaksa membayar lebih daripada RM1 bilion untuk perkhidmatan perkapalan yang mana menyebabkan harga barangan di Malaysia Timur lebih mahal.

Jarak Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu sejauh 1,500 kilometer tetapi Polisi Kabotaj menyebabkan kapal-kapal yang lebih dekat, contohnya dari Vietnam tidak boleh memunggah di pelabuhan Sabah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Polisi Kabotaj itu masih diguna pakai untuk operasi kapal kargo di Sabah, Sarawak dan Labuan. – MalaysiaGazette