Najmuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit (MRT) Corporation menafikan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang mengatakan mereka enggan bertemu dan berunding dengan pemilik di Ampang Park berhubung isu perobohan kompleks beli-belah berusia 44 tahun itu.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, mereka sudah menga dakan beberapa rundingan dengan pihak pemilik sejak 2015 tapi situasi bertukar sebaliknya apabila sekumpulan 39 pemilik Ampang Park bertindak membuat Semakan Kehakiman berhubung isu pembinaan stesen disitu.

“Tak benar mana-mana pihak yang mengatakan MRT Corp tidak jumpa dan tidak bincang dengan pemilik dan peniaga di Ampang Park,” kata Najmuddin dalam sidang media di pejabatnya di Bukit Damansara hari ini.

Menurut Najmuddin, sebanyak dua pertemuan diadakan dengan pemilik Ampang Park iaitu pada Oktober dan November 2015.

Dalam mesyuarat pada November 2015, pemilik meminta untuk mereka tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk berbincang dan ia dipersetujui MRT yang kemudiaannya disusuli dengan mesyuarat pertama antara MRT dengan jawatankuasa khas tersebut.

Jawatakuasa tersebut pada mulanya berjanji untuk membawa cadangan baharu kepada MRT selepas selesai mesyuarat 16 Disember bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila 39 pemilik membuat Semakan Kehakiman pada 8 Januari 2016 terhadap kerajaan berhubung cadangan pembinaan stesen di kompleks tersebut.

“Pertama sekali, isu pengambilan tanah Ampang Park pada masa ini berada di mahkamah. Semakan Kehakiman telah dimulakan oleh pemilik lot strata sendiri setelah mereka menolak tawaran MRT untuk mengadakan perjanjian bagi kewujudan bersama.

“Pemilik telah memutuskan untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Justeru, MRT Corp tidak boleh mengambil apa-apa langkah kecuali menunggu mahkamah untuk membuat keputusan mengenai hal ini,” katanya.

Pada 30 Jun 2016, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan bahawa proses pengambilan tanah Ampang Park yang dilakukan oleh kerajaan adalah sah.

Pemilik kemudiaan membuat rayuan pada ke Mahkamah Rayuan pada 18 Januari 2017 dan ditolak rayuan itu dan bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa proses pengambilan tanah adalah sah.

Pemilik sekali lagi membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan perkara itu kini berada di Mahkamah Persekutuan yang akan memutuskan sama ada perbicaraan terakhir boleh diteruskan.

Tegas Najmuddin, MRT sebenarnya memang ingin meneruskan dengan reka bentuk alternatif yang melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah tetapi ia memerlukan persetujuan ke semua pemilik lot strata Ampang Park.

“Seperti dinyatakan tadi, ini merupakan keperluan undang-undang memandangkan laluan pejalan kaki memerlukan penyerahan kekal harta miliksama dan kerja pengukuhan perlu dijalankan kepada struktur kompleks itu,” katanya.

Berhubung syor supaya penjajaran semula MRT dan penempatan semula stesen MRT Ampang Park, Najmuddin berkata, langkah itu akan mengakibatkan kesan negatif dari segi teknikal, kewangan dan sosial.

“Banyak kajian telah dibuat sebelum pemilihan jajaran dan lokasi stesen dilakukan dan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa jajaran dan lokasi stesen ini adalah paling optimal.

“Penjajaran dan penempatan semula lokasi stesen akan membawa lebih kesan negatif dari segi teknikal, kewangan dan sosial,” katanya.

Terdahulu, Ikhlas bersama sekumpulan pemilik Ampang Park menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar menyelamatkan pusat beli-belah Ampang Park daripada dirobohkan.

Ikhlas juga sebelum ini lantang mempertahankan kompleks itu dan bersama-sama dengan pemilik di Ampang Park menegaskan supaya ia tidak dirobohkan.

Kemelut yang melanda pusat beli-beli pertama di ibu kota itu dilihat akan menjejaskan punca rezeki ratusan peniaga di premis berkenaan.

Pusat Beli-Belah Ampang Park dibina oleh Low Keng Huat Brothers Realty Sdn. Bhd. pada 1973 dan memberi laluan bagi pewujudan kompleks beli-belah di negara ini.

Pusat beli-belah itu kini dalam proses diambil alih oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan membina Stesen Ampang Park bagi laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipertanggungjawabkan untuk memindahkan peniaga terbabit bagi pelaksanaan projek Ampang Park MRT. – MalaysiaGazette

Ikhlas hantar memorandum kepada PM rayu selamatkan Ampang Park

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.