Home Ekonomi Nor Fadhilah wanita pertama dilantik Ketua Pegawai Kewangan TM

Nor Fadhilah wanita pertama dilantik Ketua Pegawai Kewangan TM

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Nor Fadhilah Mohd Ali sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan berkuatkuasa 15 Mei ini.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Kewangan wanita pertama bagi TM.

TM berkata, Nor Fadhilah adalah Pengawal Kewangan TM sejak 16 Ogos 2015. Sebelum itu, beliau merupakan Pengurus Besar, Nasihat Kewangan dan Pembangunan Perniagaan di
Strategi Kumpulan TM sejak 1 April 2008.

Syarikat telekomunikasi itu turut mengumumkan pelantikan Datuk Kairul Annuar Mohamed Zam Zam sebagai Ketua Pegawai Strategi (CSO) berkuatkuasa 15 Mei, sekali gus melepaskan jawatannya sekarang, Naib Presiden Eksekutif, Sektor Kerajaan, TM dan Pengerusi Badan Jawatankuasa Akaun Terurus.

Dengan pelantikan Kairul, jawatan beliau sekarang akan diambil alih oleh Azizi A. Hadi yang akan memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif, Akaun Terurus dan Mohd Roslan Mohd Rashidi akan mengambil peranan sebagai Ketua Sektor Kerajaan, TM.

Ini adalah tugas tambahan kepada peranan Roslan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif
GITN Sdn Bhd – anak syarikat TM yang menguruskan keperluan komunikasi sektor Kerajaan.

Di VADS Berhad (VADS), Massimo Migliuolo akan menyerahkan teraju kepada Nizam Arshad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, VADS dan VADS Lyfe Sdn Bhd.

Ahmad Azhar Yahya pula akan diserapkan ke dalam operasi perniagaan, yang juga Ketua Pegawai Digital.

Sementara itu, Moharmustaqeem Mohammed akan mengambil alih peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Webe. – MalaysiaGazette