Ir. Izham Hashim

KUALA LUMPUR – Pengguguran Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya Pas Selangor disebabkan rasa tidak puas hati Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap kewibawaan Iskandar mengendalikan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Dr. Izham Hisham barkata, langkah drastik Pas itu memberi isyarat jelas tentang pendirian Hadi mengenai hubungan parti tersebut di negeri berkenaan.

“Walau apa sekali pun alasan (Datuk) Takiyuddin berhubung pertukaran PJ (Pesuruhjaya) Pas Selangor.

“Kita tidak dapat mengelakkan bahawa langkah itu membayangkan ketidakpuasan Presiden Pas ke atas cara YB Iskandar mengendalikan hubungan dengan Pakatan Harapan di Selangor,” katanya dipetik portal rasmi parti itu hari ini.

Sabtu lalu, Pas membuat beberapa perubahan dalam struktur Jawatankuasa Pusatnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan di ibu pejabat Pas.

Antaranya merubah rangka kerja tiga Naib Presidennya yang kini dipertanggungjawabkan untuk menjadi zon masing-masing.

Iskandar dipertanggungjawabkan untuk menjaga tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor termasuklah Selangor.

Idris Ahmad diberikan tanggungjawab ke atas Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dipertanggungjawabkan untuk memegang zon pantai timur membabitkan Pahang, Terengganu, Sabah selain Sarawak dan Kelantan.

Iskandar digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Muhyi.

Langkah itu, jelas Izham mencerminkan sikap Pas untuk tidak bersama-sama dengan PH yang dianggotai PAN, DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14 akan datang.

“Pengguguran Iskandar juga menggambarkan Pas sudah hampir pasti tidak akan bersama Pakatan Harapan pada PRU14 kelak.

“Pesuruhjaya yang baharu dilihat akan memastikan calon-calon pilihan Presiden dalam pilihan raya yang semakin hampir,” tegasnya.

Iskandar dalam pada itu menyelar laporan media yang mengaitkan dirinya digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor.

Ujar Iskandar, drinya tdak digugurkan sebagaimana yang dilaporkan media namun diberikan tugas yang lebih besar sebagai persediaan menuju PRU14.

“Polisi baru Naib Presiden tidak jadi Pesuruhjaya. Datuk Mohd Amar dan Idris Ahmad juga bukan Pesuruhjaya. Setiap Naib Presiden perlu menjaga satu zon.

“Sebarang penggunaan perkataan ‘gugur’ oleh media adalah berniat jahat. Jawatan Pesuruhjaya tamat semasa muktamar. Selepas muktamar perlantikan baru akan dibuat,” kata Iskandar. -MalaysiaGazette.