Lucie Bahetoukilae

NEWARK – United Airlines dilanda kontroversi sekali lagi. Yang terbaharu syarikat penerbangan itu menerbangkan penumpang ke destinasi yang salah.

Penumpang tersebut, Lucie Bahetoukilae, sepatutnya terbang dari Newark, New Jersey ke Paris di Perancis, tetapi akhirnya diterbangkan lebih daripada 4,800 kilometer ke San Francisco.

Bahetoukilae telah terbang lebih daripada 28 jam sebaik sahaja beliau diterbangkan ke Perancis.

United Airlines mengaku bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku menyifatkan ia sebagai ‘kegagalan yang dahsyat’.

Masalah tersilap penerbangan itu berlaku apabila Bahetoukilae yang hanya boleh bertutur bahasa Perancis berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty.

Tanpa diketahui beliau, United Airlines telah membuat perubahan pintu pada saat akhir, menyebabkan dia menaiki pesawat yang salah.

Bahetoukilae tidak dimaklumkan melalui emel atau oleh kakitangan di pintu balai berlepas.

Beliau yang memasuki pesawat berkenaan mendapati tempat duduknya 22C telah diduduki oleh penumpang lain.

Anak saudaranya, Diane Miantsoko berkata, anak kapal telah melihat tiket berlepas yang menunjukkan penerbangan dari Newark ke Charles de Gaulle tetapi meminta Bahetoukilae mengambil tempat duduk lain daripada memastikan wanita itu berada di dalam pesawat yang betul.

Miantsoko berkata, kecuaian itu merupakan isu keselamatan yang serius di pihak syarikat penerbangan berkenaan.

“Mereka tidak memberi tumpuan. Makcik saya mungkin boleh menjadi sesiapa. Dia mungkin seorang pengganas dan membunuh penumpang lain dalam penerbangan, kita tidak tahu dan anak-anak kapal tidak peduli,” katanya.

United Airlines memohon maaf atas kesilapan itu dan telah membayar ganti rugi dan menghantar baucar untuk penerbangan ke Paris. – MalaysiaGazette