KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penyebaran video menunjukkan dua wanita dicukur kepala mereka oleh sekumpulan lelaki kerana mencuri di kedai seorang peniaga yang menjadi tular di media sosial bukan berlaku di Malaysia.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datin Asmawati Ahmad berkata kejadian berkenaan berlaku di sekitar tahun lepas di Maracaibo, Venezuela.

Beliau berkata ia telah difitnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan video dan mesej berkenaan.

“Berikutan penularan video itu, pelbagai reaksi berbaur perkauman yang dikongsi secara meluas di media sosial dan rangkaian komunikasi yang lain.

“PDRM ingin menasihatkan masyarakat agar bijak menilai setiap berita yang dikongsi di media sosial atau lain-lain rangkaian komunikasi serta tidak menjadi mangsa kepada niat serong pihak-pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmawati juga menasihatkan masyarakat agar tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman atau keagamaan sehingga boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

— BERNAMA