NEW DELHI – Seorang pelajar mendakwa diarah menanggalkan baju dalam di khalayak ramai oleh pihak sekolah kerana bimbang melakukan penipuan semasa peperiksaan.

Beliau diminta berbuat demikian beberapa minit sebelum menduduki satu ujian penting.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan kod pakaian yang ketat dalam usaha menangani penipuan dalam ujian untuk memasuki kolej perubatan terkemuka di India.

Bagaimanapun, kod pakaian itu tidak menyebut baju dalam dalam senarai yang dilarang pada tahun ini yang merangkumi pakaian gelap, lengan panjang, kerongsang, lencana, kasut tertutup dan sarung kaki.

Pelajar yang enggan dikenal pasti itu memberitahu media dia berada di pusat ujian di Kerala pada Ahad lalu apabila alat pengesan logam berbunyi semasa pemeriksaan dilakukan.

“Pada masa itu, mereka memberitahu tanpa menanggalkan pakaian dalam, saya tidak boleh memasuki dewan peperiksaan.

“Alat pengesan itu berbunyi kerana cangkuk baju dalam dibuat daripada bahan logam. Jadi saya menanggal baju dalam dan memberikan kepada emak saya yang menunggu di luar,” katanya kepada NDTV.

Penuntut itu mendakwa dia kehilangan keyakinan diri selepas terpaksa menanggalkan baju dalamnya di hadapan orang ramai.

Seorang lagi pula menuntut terpaksa menanggalkan butang pada seluar jeans apabila alat pengesan logam berbunyi.

Sementara itu pengetua sekolah itu berkata, dia tidak tahu tentang kejadian tersebut tetapi mengakui sekolah berkenaan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette