KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan, kemunculan kumpulan nasyid senior, Hijjaz sentiasa dinanti-nantikan setiap minggu dalam program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV).

Ini kerana Hijjaz gemar tampil dengan idea menarik yang disuntik elemen drama di atas pentas ketika membuat persembahan.

Namun begitu, segelintir penonton ramai tidak beberaa gemar dengan tema persembahan Hijjaz pada Sabtu lalu yang didakwa mempergunakan orang kelainan upaya (OKU) dalam menarik perhatian penonton terhadap persembahan mereka.

Dalam persembahan itu, Hijjaz yang berduet bersama Lan Kristal menyampaikan lagu popular Datuk Hattan, Rendang Tak Berbuah bersama penampilan seorang lelaki OKU.

Susulan kritikan yang diterima Hijjaz, jurucakap kumpulan itu, Munif menerusi laman Facebooknya telah tampil memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Menurut Munif, Salman merupakan rakan baik Hijjaz yang berbesar hati untuk muncul dalam persembahan mereka dan tiada isu mempergunakan OKU.

“Kami pergunakan OKU? Kalau macam tu Astro pun guna OKU, bukan ke sahabat kita Azmi pun OKU? Ni tak ada kena mengena dengan OKU, Salman tu sahabat kami dari zaman nada murni, dia pun bangga memberi sumbangan di GGV.

“Adakah OKU tak layak membuat persembahan? Nak suruh dia orang mengemis je ke? Mereka pun manusia macam kita yang ada hati nurani, teringin nak buat macam orang lain buat..

“Kalau tak suka tengok persembahan Hijjaz, tukar je channel lain, Hijjaz masuk ni diundang dik oiii,” tulis penyanyi itu.

GGV merupakan pertandingan lagu kerohanian dan dakwah yang disiarkan oleh Astro Ria dan bakal memasuki minggu separuh akhir pada Sabtu ini.

Setakat ini, Hijjaz, Mirwana, Saujana, UNIC, Hafiz Hamidun dan Azmi Caliph Buskers berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas penyingkiran Wani, Ana Raffali, Ijam EYE dan Bienda pada minggu-minggu sebelum ini.

Program yang dihoskan oleh Siti Nordiana, Achey dan Fikri ini diadili juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi. – MalaysiaGazette