Polis Paris mengepung kawasan sekitar stesen Gare du Nord bagi mengesan tiga suspek yang dipercayai mahu melancarkan serangan. foto Agensi

PARIS – Stesen kereta api Gare du Nord ditutup malam tadi selepas polis dipercayai mengesan tiga suspek pengganas.

Stesen tersebut telah dikepung kira-kira pukul 11 malam dengan polis bersenjata,

Jumlah orang ramai di stesen itu juga dihadkan, menurut saksi.

Menurut akhbar Le Parisien, polis meneruskan operasi dengan melakukan pemeriksaan kereta api berkelajuan tinggi yang tiba dari Valenciennes, utara Perancis, dengan 200 orang dalam pengangkutan itu.

Polis dipercayai mencari tiga lelaki yang didakwa akan tiba di negara itu untuk melancarkan serangan.

Sejak itu, polis melancarkan operasi besar-besaran di Paris, Bordeaux dan Marseille. Namun setakat ini tidak berjaya.

Konduktor kereta api dan vendor tiket juga telah diberi amaran oleh polis tentang kemungkinan kehadiran tiga suspek itu.

Laporan tidak rasmi berkata, dua daripada lelaki itu dipercayai sebagai warga Belgium dan seorang lagi Afghanistan.

Ibu Pejabat Polis Paris mengesahkan operasi yang dijalankan sebagai usaha untuk mengelakkan sebarang ancaman.

Polis Perancis dalam tweet memaklumkan tentang operasi di stesen perhentian rangkaian rel pinggir bandar serta di kereta api Eurostar dari London dan Thalys dari dan ke Brussels dan Amsterdam. – MalaysiaGazette