Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Tiada sejumlah wang yang akan dapat membeli mana-mana exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutamanya daripada Pas untuk membentuk sebuah kerajaan negeri campuran bersama UMNO.

Itu tegas Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menafikan desas-desus usaha menjatuhkan kerajaan negeri Selangor dengan ‘membeli’ beberapa exco daripada parti Pas.

“Sebarang usaha untuk membeli Exco atau Ahli Dewan Negeri Pas adalah sia-sia kerana ia tidak akan berjaya.

“Sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor saya ingin menegaskan di sini bahawa Exco-Exco dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Pas di Selangor tidak boleh dibeli untuk menggulingkan kerajaan negeri hari ini,” kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar yang juga Naib Presiden Pas, ketika kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas memiliki hanya majoriti satu kerusi dahulu, kerajaan negeri itu masih tidak tumbang kerana tidak ada seorang pun daripada ADUN Pas dapat dibeli.

“Oleh yang demikian, telah terbukti bahawa wakil-wakil rakyat Pas mempunyai integriti yang tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka,” katanya.

Tambahnya rakyat di Selangor telah mendapat pembelaan yang sewajarnya sejak Mac 2008.

Pelbagai program-program kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) atau yang sekarang ini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah dinikmati rakyat negeri berkenaan

“Maka adalah tidak masuk akal untuk menyerahkan kembali negeri ini kepada UMNO dan sekaligus merungkai segala inisiatif-inisiatif yang telah diusahakan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri hari ini,” katanya. – Malaysia Gazette