Moon Jae dipilih sebagai Presiden Korea Selatan yang baharu

SEOUL- Pemimpin liberal Korea Selatan,Moon Jae akan mengangkat sumpah hari ini selepas memenangi pilihanraya bagi menggantikan Presiden terdahulu, Park Geun-hye yang menghadapi skandal rasuah.

Menurut Reuters, tugas utama Moon pada ketika ini adalah membawa negara tersebut keluar daripada ketegangan dengan jirannya, Korea Utara berhubung program nuklear serta menjauhkan diri daripada risiko “bergaduh” dengan Amerika Syarikat.

Moon dijangka mengumumkan pelantikan ahli kabinet dan presiden utama hampir serta-merta bagi mengakhiri ruang kosong yang ditinggalkan oleh Park pada Mac.

Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan mengumumkan kemenangan Moon pada jam 8 pagi tadi dan beliau secara rasminya telah mula menjalankan tugas sebagai presiden.

Moon akan mengadakan sidang media pertama pada jam 2.30 petang ini selepas satu majlis angkat sumpah yang ringkas.

Beliau juga akan menamakan beberapa pegawai untuk menjawat tugas penting seperti perdana menteri, ketua Pekrkhidmatan Perisikan Nasional, chief of staf dan ketua pengiring, kata seorang pegawai Parlimen.

Menurut agensi berita Yon Hap, Moon telah membuat keputusan untuk melantik Lee Nak-yon sebagai perdana menteri.

Namun tiada pengesahan rasmi mengenai perkara itu malah jurucakap beliau mengatakan tidak tahu-menahu mengenai pelantikan tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan daripada partinya, Parti Demokratik, Moon dikatakan telah diberi taklimat mengenai status ketenteraan Korea Utara dan kesiapsiagaan ketenteraan negara tersebut menghadapi jiran mereka.

Sebagai presiden, Moon mesti mencari jalan untuk mengurangkan pertingkahan dengan Korea Utara sekaligus meredakan ancaman nuklear dan peluru berpandu daripada negara tersebut.

Dalam masa yang sama beliau perlu mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat, teman baik Korea Selatan.

Dalam kemunculan pertama sebagai presiden, Moon telah menziarahi Makam Kebangsaan di Seoul pagi tadi bagi memberi hormat kepada pahlawan-pahlawan Korea Selatan.-MalaysiaGazette

 

.