Kain rentang peringatan di Surau Austin Perdana.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Surau Austin Perdana di Taman Austin Perdana Johor Bahru, memasang kain rentang mengingatkan jemaah supaya meletakkan kenderaan dengan lebih tersusun.

Harian Metro melaporkan, pihak berkenaan turut memberi cadangan untuk menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) wanita dan bukan Muslim bagi memantau pergerakan lalu lintas.

Hebahan mengenai peringatan kepada jemaah supaya memberi kerjasama dalam meletakkan kenderaan turut diumumkan sebelum solat Jumaat hari ini bagi mengelak insiden minggu lalu daripada berulang.

Malah, jemaah juga dinasihatkan supaya tidak menyimpan perasaan dendam terhadap provokasi berlaku sebelum ini, selain meletakkan kenderaan secara tersusun sebagaimana cantik dan teraturnya saf ketika solat.

Dalam kejadian minggu lalu, berlaku kekecohan di surau berkenaan selepas seorang pemandu kereta berbangsa Cina membunyikan hon sehingga mengganggu solat Jumaat.

Berikutan itu, sekumpulan lelaki dipercayai jemaah surau telah bertindak memukul pemandu terbabit serta merosakkan kenderaannya.

Bagaimanapun, pemandu itu membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu perjumpaan di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Johor Bahru, semalam. – MalaysiaGazette