Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Anti Keganasan Sukan Sea KL 2017 bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang temasya sukan itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan petugas tersebut akan diketuai pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia dengan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku timbalan.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan turut mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata peranan pasukan petugas khas itu adalah untuk meningkatkan kerjasama dan koordinasi melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan penganjuran Sukan Sea KL 2017 berjalan lancar.

“Pasukan ini akan memfokuskan kepada tiga komponen utama iaitu sebelum (pencegahan atau peningkatan kawalan keselamatan), semasa (pengurusan krisis) dan selepas (pemulihan),” katanya.

Ahmad Zahid hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Keselamatan Sukan Sea KL 2017 yang diurusetiakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri di Pusat Pengurusan Operasi Negara, di sini.

“Kerajaan berharap pasukan khas itu akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan peserta Sukan Sea KL 2017 terhadap usaha dan tindakan keselamatan yang diambil secara tersusun bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pewujudan HLC adalah selaras dengan keputusan Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 11 April lepas dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 April lepas supaya langkah berjaga-jaga dan kawalan keselamatan dipertingkatkan semasa temasya sukan bagi memastikan keselamatan orang ramai dan peserta.

Sebanyak tiga kertas makluman dan satu kertas pertimbangan dibentangkan hari ini melibatkan Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia dan MKN.- MalaysiaGazette