Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warganegara Turki yang disyaki terlibat dengan Kumpulan Organisasi Pengganas Fetullah (FETO) telah diusir ke negara asal mereka semalam, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara dalam satu kenyataan di sini berkata, ketiga-tiga suspek pengganas itu diusir ke negara asal oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.

“Asas pengusiran tiga suspek pengganas berkenaan ialah hasil siasatan Polis Diraja Malaysia mendapati mereka terlibat dalam aktiviti FETO dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki pihak berkuasa Turki.

“Dokumen perjalanan mereka (ketiga-tiga pengganas) telah dibatalkan oleh kerajaan Turki dan oleh demikian kehadiran mereka di Malaysia adalag tidak sah dan berstatus Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“FETO telah diwartakan sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan Turki dan Organisasi Kerjasama Islam (OIC),” katanya hari ini.

Tambahnya, ketiga-tiga warganegara Turki tersebut ditngkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada 2 dan 4 Mei 2017 di tiga lokasi berasingan di sekitar ibu negara dan Pahang.

Butiran mereka adalah Turgay Karaman, 43, Ihsan Aslan, 39, dan Ismet Ozcelik, 58 tahun.

Dalam perkara berkaitan, Khalid juga menegaskan, PDRM akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau anasir pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sama ada sebagai pusat logistik, tempat perlindungan, pengumpulan dana atau pangkalan operasi mereka bagi melancarkan serangan sama ada di Malaysia atau negara-negara asing. – MalaysiaGazette