Pengarah Urusan Gallery Bookstore Sdn. Bhd., Datuk Mohd Salleh Saidin (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Nasir Khan Yahaya (tiga kanan) melancarkan Privilege Card sempena Sambutan Hari Guru 2017 dengan diiringi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Razali, Norwati Muhammad (dua kiri) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Razali, Ampang. foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2017

AMPANG – Gallery Bookstore Sdn. Bhd. menyasarkan sekurang-kurangnya ada 10,000 pemegang Privilege Card bagi kedai buku itu sehingga akhir tahun ini.

Privilage Card itu diperkenalkan hari ini bagi membolehkan para pelanggan Gallery Bookstore menikmati potongan harga antara 10 hingga 20 peratus bagi pembelian buku dan lima peratus bagi peralatan menulis.

Pengurus Besarnya, Zafril Hassan berkata, pelanggan Gallery Bookstore hanya perlu mengisi borang dan membayar RM10 untuk menikmati keistimewaan penggunaan kad itu selama dua tahun.

“Permohonan bagi mendapatkan kad itu telah dibuka hari ini di semua lapan cawangan Gallery Bookstore,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Razali sempena sambutan Hari Guru 2017.

Pada majlis itu, Gallery Bookstore telah menyerahkan sebanyak 60 Privilege Card itu kepada guru-guru di sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette