Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kemelut Pas dan PKR di Selangor memberi gambaran betapa celarunya masalah yang sedang dihadapi pentadbiran kerajaan negeri Selangor dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau kini tersepit tidak tahu membuat keputusan.

Secara rasmi memang hubungan antara Pas dan PKR sudah berkecai selepas keputusan dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Mei lalu sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi.

Ketua Bahagian UMNO Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan kegagalan Mohamed Azmin membuat keputusan dalam memecat Exco Pas menunjukkan kelemahannya kerana terlalu sayangkan jawatan Menteri Besar dan tidak mahu kehilangan kuasa kelak.

“Keadaan ini juga sebenarnya menunjukkan kelemahan Azmin dalam membuat pendirian, sekarang ini beliau hanya memikirkan jaminan jawatan yang dipegangnya sekarang ini.

“Tanpa sokongan Pas, beliau (Azmin) pasti sukar untuk mengekalkan kuasanya dan membantu kroni-kroninya di Selangor semakin kaya,” kata Ismail dalam satu kenyataan.

Lebih jelas ketakutan Mohamed Azmin adalah apabila tidak memecat exco parti Islam itu serta-merta semasa pertemuan baru-baru ini tetapi hanya mengatakan sekadar kecewa dengan keputusan Pas memutuskan hubungan sahaja, kata Ismail.

“Menyedari hakikat bakal hilang kuasa, Mohamed Azmin sebenarnya takut untuk memecat Exco Pas di Selangor dan sekadar membuat gertakan olok-olok dengan memberi amaran kepada tiga orang Exco yang dipanggil bertemu dengan beliau minggu lalu.

“Mustahil Mohamed Azmin ini berani memecat Exco Pas dan kesannya beliau hanya membiarkan isu ini terus dipolemikkan,” katanya lagi.

Menurut Ismail, kerajaan yang dipimpin oleh Mohamed Azmin kini sedang melakukan hubungan haram walhal hakikatnya kedua-dua parti sudah bercerai.

“Bagi Pas dan PKR di Selangor, mereka ini umpama pasangan yang sudah bercerai dan mereka ini sedang melakukan hubungan tidak sah dan pastinya dengan hubungan haram ini hal ehwal rumah tangga melibatkan isu kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor bakal terjejas,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya Mohamed Azmin segera menyelesaikan kemelut di Selangor agar kebajikan dan kepentingan rakyat tidak terjejas dek kerana terlalu banyak bermain politik sesama mereka.

“Saya menggesa supaya Mohamed Azmin menyelesaikan kemelut ini dengan segera agar tidak menjejaskan rakyat di Selangor dan sekiranya mereka masih mahu meneruskan hubungan haram ini terima lah akibatnya nanti dimana rakyat Selangor akan membuat penolakan total terhadap mereka semasa pilihan raya umum nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette