Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam bercakap semasa sidang media pada Majlis Penghargaan Bagi Pelajar-Pelajar India Cemerlang SPM dan STPM di Ibu PejabaT MIC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Presiden MIC Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, isu lebih 90,000 ahli MIC yang masih tidak berdaftar sebagai pengundi negara ini sedang ditangani.

Kata beliau langkah secara komprehensif sedang dilaksanakan parti di semua peringkat negeri untuk mengesan dan mendekati ahli-ahli MIC yang berada dalam kelompok bukan pengundi.

MIC mempunyai keahlian seramai 570,000 tetapi 90,000 dikesan tidak berdaftar sebagai pengundi sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Amat kesal melihat 90,000 orang ahli ini sudah lama berada dalam parti tetapi tak daftarkan diri sebagai pengundi bertanggungjawab.

” Puncanya mereka leka dan tidak mempunyai kesedaran mengenai pentingnya berdaftar sebagai pengundi.

“Selain itu mereka dari cawangan MIC yang tidak aktif yang mana gagal menghadiri perjumpaan dan mesyuarat parti,” katanya dalam sidang media selepas meraikan 37 pelajar India cemerlang SPM dan 12 pelajar STPM 2016 di ibu pejabat Pusat MIC di sini.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, parti sudah pun menggerakkan pengerusi di setiap negeri untuk mendekati cawangan-cawangan MIC dan mendaftarkan ahli MIC sebagai pengundi sebelum Jun ini.

“Negeri yang mempunyai bilangan ahli MIC tidak berdaftar sebagai pengundi sah ialah di Selangor.

“Saya yakin parti tidak mempunyai masalah untuk menangani masalah ini, kita sudah mengatur langkah terbaik untuk menangani isu ini,” kata Menteri Kesihatan itu tanpa mendedahkan angka sebenar. – Malaysia Gazette