Fahariyah Nordin

KUALA LUMPUR – Kesetiaan pemimpin pembangkang kepada negara diragui selepas terbongkar seorang wakil rakyat DAP di Sarawak dilucut jawatan baru-baru ini, kata Senator Datuk Fahariyah Nordin.

Fahariyah berkata, rakyat sekarang tertanya kemungkinan terdapat lagi di kalangan pemimpin pembangkang yang memiliki dua kewarganegaraan selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon Dr Ting.

“Masyarakat pastinya terkejut dengan laporan media berhubung pelucutan kelayakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dari parti DAP pada persidangan DUN Sarawak 12 Mei lepas selepas didapati memiliki dua kewarganegaraan.

“Ekoran daripada isu ini sudah pasti kini timbul persoalan berapa ramaikah sebenarnya pemimpin pembangkang yang mempunyai dua kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fahariyah yang juga Ketua Puteri UMNO Ledang itu menyifatkan kemungkinan terdapat lagi pemimpin pembangkang yang memiliki dua warganegara bukan mustahil memandangkan hubungan rapat mereka dengan negara luar lain.

“Ini kerana umum mengetahui ramai pemimpin pembangkang yang mempunyai hubungan istimewa dengan negara jiran, maka tidak mustahil ada di kalangan pemimpin pembangkang telah memiliki kerakyatan negara tersebut,” katanya.

Fahariyah mencabar pemimpin pembangkang supaya tampil dan membuat pengakuan bahawa mereka tidak ada memiliki kewarganegaraan lain selain Malaysia.

“Justeru, saya mendesak dan mencabar kepimpinan pembangkang untuk membuktikan taat setia bahawa mereka sememangnya warganegara Malaysia,” katanya.

Katanya, tindakan Dr Tiong Choon yang menyembunyikan identitinya itu sebagai menghina institusi Perlembagaan negara.

“Sememangnya tindakan merahsiakan status pemilikan dua kewarganegaraan ini satu tindakan yang memalukan dan menghina institusi Perlembagaan, Parlimen dan DUN dan langsung tidak menghormati peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Malah sebagai seorang rakyat, tanah tumpah negara, kita perlu disanjung tinggi dan dimuliakan dan bukannnya diperdagangkan dengan begitu hina sekali,” katanya.

Sudah tentu tindakan Dr Tiong Choon itu mengakibatkan nama negara terpalit dengan imej buruk, kata Fahariyah.

“Pastinya sikap patriotik seseorang rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan itu akan terus dipersoal dan menjadi bahan permainan, usikan pihak lain termasuk pemerhati politik antarabangsa yang akan melabel wakil rakyat Malaysia sebagai pemimpin tangkap muat dan tidak cintakan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette