KUALA LUMPUR – Ringgit dijangkakan kekal kukuh sekitar 4.30 kepada dolar AS minggu depan, didorong kesan limpahan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Data KDNK yang menggalakkan bagi suku pertama 2017 (1Q17), yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, membantu mengukuhkan unit tempatan sebanyak 0.18 peratus, dan kesan positif ini dijangkakan berterusan.

Ini lebih-lebih lagi disebabkan ekonomi Malaysia dalam kedudukan mengukuh hasil daripada prestasi eksport dan perbelanjaan modal yang lebih tinggi.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada 1Q17 berbanding 4.1 peratus pada suku sama 2016, diperkukuh oleh permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang meningkat.

Ia adalah catatan terbaik sejak suku yang sama pada 2015, yang menyaksikan KDNK mencatatkan 5.8 peratus.

Ketika mengumumkan data KDNK 1Q17, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, ringgit stabil hasil langkah yang dilaksanakan bagi membangunkan pasaran kewangan domestik, dan trend itu kini mencerminkan kedudukan kukuh ringgit serta ekonomi negara.

“Seterusnya ringgit akan terus mencerminkan kedudukan ekonomi Malaysia. Ketidaktentuan berterusan di luar negara mungkin meningkatkan turun naik pergerakan ringgit,” katanya.

Sementara itu Standard Chartered Bank Malaysia berkata ada ruang untuk ringgit mengukuh berdasarkan skala pengaliran keluar portfolio sejak empat tahun lepas.

“Walaupun ringgit yang meningkat mungkin dilihat sebagai petanda keyakinan ke atas ekonomi domestik, kami melihat bank pusat mungkin menyasarkan untuk meningkatkan semula rizab tukaran asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.3440 dan 4.3140 berbanding dolar AS.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu didagangkan tinggi pada 4.3180/3230 berbanding dolar daripada 4.3440/3470.

Ringgit bagaimanapun ditutup rendah berbanding mata wang utama yang lain. Unit tempatan rendah itu berbanding dolar Singapura kepada 3.1056/1114 daripada 3.0859/0900 dan rendah berbanding yen kepada 3.8723/8782 daripada 3.8213/8246 minggu lalu.

Ringgit juga rendah berbanding pound British kepada 5.6177/6247 daripada 5.5859/5902 dan rendah berbanding euro pada 4.8176/8245 daripada 4.7232/7269. – MalaysiaGazette