Foto www.bbc.com

MADRID – Real Madrid menepati ramalan untuk merangkul kejuaraan La Liga yang pertama dalam tempoh lima tahun ketika Cristiano Ronaldo melakar gol ke-40 musim ini selepas pasukannya menang 2-0 ke atas Malaga, awal pagi tadi.

Ronaldo dan Karim Benzema tidak menunggu lama mengesahkan kejuaraan kali ke-33 ketika perlawanan baru memasuki minit ke-10 dengan kedudukan kekal hingga ke tamat perlawanan.

Madrid mengetepikan cabaran Barcelona di takhta liga dengan perbezaan tiga mata selepas pasukan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Eibar 4-2 dalam perlawanan terakhir Luis Enrique di laman sendiri.

Kejayaan anak buah Zinedine Zidane itu menyaksikan Barca gagal meraih gelaran liga ketiga berturut-turut.

Zidane menyifatkan perlawanan itu adalah hari paling menggembirakan buat dirinya dalam bidang profesional.

“Menjuarai La Lga adalah pencapaian terbaik dan luar biasa selepas memenangi segala-galanya dengan kelab ini,” katanya.

Dalam aksi pagi tadi, Real hanya memerlukan satu mata untuk memastikan gelaran itu dan kegusaran berkenaan hanya lenyap dalam masa beberapa saat sebaik perlawanan bermula. – MalaysiaGazette