Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (kanan) menyerahkan kunci kereta Volkswagen The Beetle kepada pemenang hadiah utama Bakri Hafiz Hisham (tengah) turut serta Pengurus Kanan Pemasaran dan Penjenamaan Volkswagen Yani Fadzil (kiri) pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek PLUS MUFORS Road Reels di Persada PLUS, Subang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 MEI 2017

PETALING JAYA – Multi tasking atau kemahiran melakukan pelbagai perkara serentak sering menjadi kayu ukur kebolehan seseorang.

Namun dalam sesetengah situasi seperti memandu kenderaan, kemahiran itu boleh membunuh.

Dengan itu, Bakri Hafiz Hisham,29, memerah idea untuk mengingatkan orang ramai melalui video pendeknya supaya tiada apa yang perlu dibanggakan apabila anda mempunyai kemahiran melakukan pelbagai kerja serentak semasa memandu.

Ideanya itu juga membolehkan bekas arkitek yang kini membuka perniagaan sendiri dalam bidang fotografi  membawa pulang sebuah kereta Volkswagen Beetle selepas memenangi pertandingan Video Pendek PLUS Mufors Road Reels dengan mengenepikan 300 pencabar yang lain.

“Kita sekarang sering berbangga apabila mampu melakukan multi tasking termasuklah ketika memandu sedangkan apa yang sepatutnya dilakukan adalah memberi penumpuan penuh kepada pemanduan.

“Memang kita rasa kita hebat, kita rasa kita ada empat tangan dan boleh memandu pelbagai perkara sekaligus tetapi hakikatnya, kita hanya dikurniakan dua tangan sahaja. Jadi pergerakan dan tumpuan kita adalah terhad.

“Multi-tasking ketika memandu adalah merbahaya, ini yang saya ingin tonjolkan,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan daripada PLUS dan Volkswagen dalam satu majlis di sini hari ini.

Menampilkan video pendek bertajuk Empat,  Bakri menceritakan seorang lelaki yang merasakan dirinya seseorang yang istimewa dikurniakan dengan empat tangan.

Ini kononnya memudahkan aktiviti harian beliau sedangkan pada hakikatnya lelaki tersebut adalah manusia biasa yang ada sepasang tangan sahaja dan kemahiran melakukan pelbagai perkara serentak itu telah membahayakan diri sendiri dan menyusahkan orang lain.

Tidak menjangkakan untuk menang, Bakri hanya mengambil masa kira-kira sehari setengah sahaja untuk menyiapkan produksi tersebut termasuk pengambaran dan proses suntingan.

Selain hadiah utama berupa kereta Volkswagen Beetle, pertandingan anjuran PLUS itu juga turut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM8,000 kepada pemenang tempat kedua dan ketiga.

Manakala hadiah saguhati sebanyak RM2,000 diberikan kepada pemenang tempat keempat sehingga kesepuluh.

Pemenang kategori Video Pilihan Ramai akan membawa pulang wang tunai RM3,000.-MalaysiaGazette