Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam lagi lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, keenam-enam suspek ditahan antara 23 hingga 26 Mei oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM.

Operasi dibuat di Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah.

“Pada 23 Mei PDRM menahan Muhammad Arief Junaidi yang menyerah diri kepada polis selepas membaca kenyataan polis di media,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penternak lembu dikehendaki PDRM kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata api untuk kegunaan anggota Kumpulan Daesh di Malaysia.

Malah suspek pada 22 Mac lalu telah menyusup masuk ke Thailand melalui Sungai Golok bersama-sama dua pucuk senjata api dan pistol.

Penahanan itu adalah susulan daripada operasi yang dijalankan pada 21 dan 24 Mac lalu ke atas dua anggota Kumpulan Daesh iaitu Nik Razanil Izuan Daud dan Mohamad Sabri Mat Zain.

Kedua-dua mereka bagaimanapun sudah dijatuhkan hukuan lima tahun penjara dan enam kali sebatan.

Tangkapan kedua pula melibatkan dua orang adik beradik kerana disyaki menyokong Kumpulan Daesh di Syria yang diketuai Muhammad Fudhail Omar dan Wan Mohd. Aquil Wan Zainal@ Akel Zainal.

Kedua-dua yang berusia 23 dan 29 tahun itu bekerja sebagai guru agama dan peniaga online itu ditahan pada 25 dan 26 Mei.

Tangkapan ketiga pula dibuat pada 25 Mei melibatkan seorang pesara tentera yang berusia 54 tahun di Kulim, Kedah.

Suspek pernah menyalurkan lebih kurang RM20,000 kepada Kumpulan Daesh di Syria melalui beberapa transaksi dan anaknya sendiri telah menyertai Kumpulan Daesh di Syria.

Tangkapan keempat dilakukan pada 25 Mei lalu ketas dua suspek di Selangor dan Kedah yang masing-masing berusia 31 dan 33 tahun.

Suspek pertama bekerja sebagai pegawai kualiti di syarikat swasta manakala suspek kedua tidak bekerja.

“Kedua-dua mereka juga terlibat dalam menyokong dan membantu Kumpulan Daesh di Syria,” kata Khalid.- MalaysiGazette