Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan bangsa Melayu di negara ini satu hari nanti mungkin pupus dan hanya ada dalam buku sejarah sahaja.

Menurutnya, ia mungkin berlaku apabila orang Melayu yang semakin hilang semangat kebangsaan.

“Apakah buku sejarah di zaman akan datang akan tertulis didalamnya, “Maka di zaman dahulu terdapat satu bangsa yang dikenali sebagai melayu, yang sudah pun hilang, kerana semangat bangsa luput diganti dengan ketamakan nafsu”,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu memberitahu, dalam sejarah manusia banyak sudah bangsa-bangsa yang sudah tidak ada lagi.

Ada yang hanya tercatit dalam buku sejarah. Ada yang hilang sama sekali, katanya yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Beliau berkata demikian merujuk kepada dakwaan orang Melayu sanggup mengadaikan sesuatu semata-mata kerana imbuhan wang dan kuasa.

Bagaimanapun Mahathir dalam kenyataan yang sama tidak menyatakan secara khusus dakwaan berkenaan.

“Saya membesar di zaman perjuangan melawan Malayan Union dan membebas negara dari penjajahan British.

“Diwaktu itu semangat kebangsaan sahaja yang mendorong saya dan kawan-kawan bergerak dan berkorban duit sendiri yang sedikit bagi menjayakan perjuangan. Tidak ada harapan untuk mendapat apa-apa balasan selain dari tebusan maruah bangsa.

“Hari ini orang Melayu sudah banyak berubah. Bagi ramai dari kita, sudah tidak ada lagi kesayangan kepada bangsa dan negara,” katanya.

Semangat kebangsaan dicemuh sebagai perkauman – rasis. Kita malu jika bersemangat Melayu, dakwa Mahathir.

“Sekarang ini ramai yang tidak boleh menerima bahawa seseorang boleh sayang kepada bangsa dan negara sehingga sanggup korban keselesaan hidup diri sendiri.

“Sesungguhnya saya amat sedih akan kehilangan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu, tua dan muda,” katanya.- MalaysiaGazette