Wee Ka Siong (kanan) bersama Florence Goh (kiri) menunjukkan laporan polis pada sesi sidang media mengenai isu pelobi Amerika Syarikat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Menara Usahawan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2017

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menasihatkan Rafizi Ramli supaya meneliti dan menyiasat terlebih dahulu berkenaan sesuatu perkara sebelum membuat sebarang ‘pendedahan’.

“Jangan buat tuduhan yang bukan-bukan, boleh menganiaya orang lain. (Rafizi) Jangan membuat tuduhan yang bukan-bukan, tuduhan liar yang serius. Ini bukan kali pertama, sudah berkali-kali Rafizi buat tuduhan-tuduhan seperti ini,” kata Wee Ka Siong.

Beliau merujuk kepada sidang media oleh Rafizi Ramli baru-baru ini yang memetik inidividu bernama Florence Goh yang dikatakan menjadi orang tengah kepada Pejabat Perdana Menteri sebagai tukang lobi kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Goh Siew Boey yang turut menggunakan nama Florence Goh hari ini tampil menafikan penglibatannya dalam perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan Malaysia.

Goh yang menjalankan perniagaan penghasilan perisan komputer di Johor Bahru, menggesa Rafizi membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kesilapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan itu bagi membersihkan nama dan syarikat perniagaannya.

“Buat masa ini saya belum bercadang untuk memfail saman kepada Rafizi, tapi jika dia tidak berbuat begitu (mohon maaf), saya akan lihat perkembangan seterusnya sebelum membuat sebarang keputusan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Rafizi mendakwa melalui rekod SSM menunjukkan CRT Insights Technologies SDN BHD milik Goh menggunakan alamat yang sama dengan Godfrey Group’s di Taman Molek.

Sebagai pengarah CRT Insight, Goh diminta oleh Rafizi memberi penjelasan berhubung penglibatannya sebagai orang tengah melobi Amerika Syarikat bagi pihak Najib atas nama Godfrey. – MalaysiaGazette